Sekat muat turun percuma




ISU cetak rompak yang membelenggu karya seni tempatan umpama barah yang tiada penawar. Permasalahan ini berterusan tidak kira produk muzik atau filem menjadi mangsa pada pihak tidak bertanggungjawab.

Jika suatu ketika dulu, cetak rompak hanya membabitkan filem atau album lagu tiruan, kini selari dengan perkembangan teknologi maklumat, muat turun lagu secara haram di Internet makin berleluasa.
Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Norman Abdul Halim berkata, masalah ini perlu dibendung lebih serius dengan usaha kerajaan melakukan sekatan pada laman sesawang yang menyediakan perkhidmatan pada pengguna untuk dimuat turun lagu tempatan secara percuma.

Katanya, peranan RIM mengadakan sidang media khusus ini sebagai tanda sokongan persatuan terhadap usaha kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan terhadap penjenayah alam siber ini.


“Kami mohon kerajaan melakukan sesuatu terhadap kewujudan laman sesawang ini kerana masalah yang berlaku memberi kesan pada pembangunan industri hiburan.

“Tidak dinafikan perkembangan jalur lebar begitu pesat dan ia memberi cabaran pada penggiat seni berdepan masalah seperti cetak rompak.

“Ketika ini, Akta Hakcipta masih dalam pindaan menerusi bacaan kedua di Parlimen. Begitu juga, satu arahan dikeluarkan SKMM pada minggu lalu untuk menyekat bahan hiburan secara haram ini.

“RIM sendiri ada membuat aduan terhadap laman sesawang, jiwang.org agar ia disekat. Apa yang dilakukan laman web ini sebenarnya satu bentuk penganiayaan dan menjadi mangsa adalah artis sendiri,” katanya.

Norman berkata, selepas arahan dikeluarkan wujud beberapa pihak menentang termasuk kumpulan Anonymous disertai 12,000 pengguna di facebook. Apa yang membimbangkan, kumpulan ini bermatlamat menggodam laman web milik kerajaan sebagai tanda protes.

“Di luar negara seperti Belgium, Kanada, Perancis dan Itali, usaha menyekat ini sudah lama dilakukan. Jika kita memulakan langkah ini, bermakna kita menjadi negara Asia pertama yang mengambil inisiatif ini.

“Ada laporan yang kami baca, usaha sebegini dikatakan melanggar hak asasi manusia tetapi RIM mahu rakyat negara ini faham apa yang dilakukan bukan atas alasan itu.

“Saya percaya jika kita mahu menjadikan negara ini berpendapatan tinggi, inilah caranya kita harus menyekat laman sesawang ini. Kewujudan laman sesawang seperti ini mengakibatkan kerugian pada negara.

“Setakat ini kita hanya mendapat perolehan pendapatan sebanyak RM100 juta berbanding RM300 juta setahun pada 1996. Sepatutnya negara kita terus maju dan lagu tempatan bukan lagi dimuat turun percuma,” katanya.

Dari 84 laman sesawang yang menyediakan produk tempatan ini, 10 laman sesawang dikenal pasti terbabit dalam masalah cetak rompak ini. Buat masa ini, laman sesawang jiwang.org masih belum disekat.

“RIM tidak tahu bila sekatan ini akan dilakukan dan cadangan mengenakan tindakan pada pengguna ini dikenali ‘3 Steps Rule’ sudah digunakan negara luar seperti Perancis, Korea Selatan dan New Zealand. Pengguna ini diberi peringatan pertama dan kedua seterusnya disekat perkhidmatan jika terus berdegil,” katanya.

Pada acara itu, hadir sama beberapa rakan artis yang menyatakan sokongan antaranya komposer Ad Samad, penyanyi Ana Raffali, pelakon Lisa Surihani dan Produser Metrowealth (MIG) Pictures, David Teo.


Sumber : http://www.hmetro.com.my/articles/Sekatmuatturunpercuma/Article

No comments:

Post a Comment

no **** please